AM

BNM UMUM PENYELESAIAN KENAIKAN KADAR PREMIUM INSURANS PERUBATAN TIDAK LAMA LAGI - FAHMI

13/12/2024 08:37 PM

PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan penyelesaian terhadap isu kenaikan kadar premium insurans perubatan tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet hari ini, yang mengatakan bahawa bank pusat itu masih memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman.

"Perdana Menteri sudah memaklumkan perkara ini pada sesi soal jawab Perdana Menteri Selasa lepas, bahawa BNM akan membuat penilaian, perbincangan dan akhirnya nanti mengumumkan satu keputusan hasil daripada isu kadar insurans. 

"Hari ini Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri, perlu sedikit masa lagi, tapi dalam masa yang tak terlalu lama, BNM akan buat pengumuman," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.

Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat Selasa lepas, Anwar berkata BNM dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menentukan kawalan agar kenaikan premium insurans perubatan tidak terlalu tinggi hingga menimbulkan pelbagai masalah kepada pesakit.

Semalam ketika sesi pergulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar Kementerian Kewangan di Dewan Negara, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata BNM akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah interim bagi mengatasi kenaikan kadar premium insurans pada minggu hadapan.

Justeru Fahmi yakin pengumuman itu kelak akan memberi kelegaan kepada rakyat negara ini yang mengharapkan agar isu itu dapat ditangani sebaik mungkin.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan