AM

PELBAGAI USAHA DILAKSANA KERAJAAN MADANI JAGA KEBAJIKAN RAKYAT

15/12/2024 11:04 AM

Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Yasmin Ahmad Zukiman

 

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pelbagai anjakan dan reformasi yang mengutamakan kebajikan rakyat diusahakan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepanjang tahun ini.

Perdana Menteri antara lain pada 6 Julai mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya memilih kampung asal atau kampung lain untuk dijadikan kampung angkat bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.

Antara inisiatif lain memberikan kemudahan kepada rakyat ialah pengenalan Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi yang bertepatan dengan keperluan semasa kerana lebih banyak kaedah pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Ini kerana menerusi Pakej Rahmah Prabayar Siswa berharga tidak lebih RM30 itu, pelajar boleh mendapat akses kepada kemudahan Internet yang pantas untuk pembelajaran dan menyiapkan tugasan masing-masing berikutan minimum permulaan data disediakan ialah 30 gigabait untuk tempoh 180 hari.

Pada 16 Julai, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan pakej itu dikhususkan untuk pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih serta boleh dilanggan mulai 16 Ogos menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES). 

  Sementara itu, antara program dan inisiatif baharu diperkenalkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) tahun ini ialah Program Pembangunan Premis Tamu Desa bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dalam membantu peniaga kecil di desa dan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun ini, sebanyak 92 tapak Tamu Desa dibina baharu dan dinaik taraf dengan peruntukan RM19 juta di Sabah dan Sarawak.

Kuskop turut melancarkan inisiatif baharu kepada usahawan India membabitkan penambahan dana pembiayaan berjumlah RM136 juta.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R Ramanan berkata antara inisiatif dilancarkan adalah Program PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM50 juta.

Kuskop turut memperkenalkan Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) berjumlah RM50 juta dan Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) berjumlah RM6 juta dan Program SPUMI (Skim Pembangunan Usahawan India) Goes Big berjumlah RM30 juta.

Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula 22 Nov pula meraih sambutan memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung melebihi sasaran sekali gus membuktikan rakyat semakin memahami aspirasi Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan kehadiran pengunjung program di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu melebihi sasaran 230,000 iaitu satu pencapaian baik dan menunjukkan rakyat sudah mula mendekati dan memahami aspirasi kerajaan MADANI.

Menelusuri pencapaian kerajaan sepanjang 2024, pelbagai inisiatif berterusan dilaksanakan antaranya peningkatan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pendidikan.

Menyedari bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan, kerajaan pada 8 Jun meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200 juta menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi meningkatkan penyertaan belia dalam bidang tersebut.

Pada masa sama, peruntukan hampir RM8 bilion yang disediakan kerajaan adalah antara tertinggi dalam sejarah bidang pendidikan TVET dengan hasrat meletakkan bidang itu di tahap tertinggi sebagaimana negara maju lain.

Bagi memastikan kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan diutamakan, kerajaan menyediakan peruntukan RM10 bilion tahun ini menerusi STR, dengan inisiatif itu mencerminkan komitmen dan iltizam kerajaan untuk meringankan beban rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali ketika dihubungi Bernama berkata berdasarkan penilaiannya, Malaysia sudah dipulihkan dari sudut pendapatan negara dan pelaburan malah Perdana Menteri berjaya membawa perubahan kewangan yang lebih lestari.

“Kalau kita lihat beberapa Belanjawan sebelum ini Perdana Menteri berjaya meningkatkan pendapatan negara dan subsidi. Pada masa sama mengurangkan defisit menunjukkan bahawa ini adalah antara indikator kejayaan beliau dalam pengurusan kewangan negara.

“Dari sudut antarabangsa, Perdana Menteri berjaya meningkatkan imej Malaysia dan berjaya menghasilkan hubungan lebih bermakna, lebih erat dengan negara-negara seterusnya meningkatkan perdagangan dan pelaburan asing yang masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata usaha Perdana Menteri untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat dapat dilihat dengan kenaikan bantuan tunai daripada semua segmen selain berjaya menikmati negara stabil yang menjadi punca kejayaan terutamanya inflasi dan pengangguran yang kekal rendah.

Selain itu, beliau berkata produktiviti negara dapat ditingkatkan dari segi nilai eksport yang meningkat melebihi RM1.5 trilion sekali gus mencipta rekod baharu bagi Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan