AM

SULTAN SELANGOR BERKENAN SERTAI ACARA LARIAN KITA

15/12/2024 01:11 PM

SUNGAI BESAR, 15 Dis (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan menyertai Larian Kebajikan Inklusiviti Teras Aspirasi (KITA) di Kampung Bagan Terap, di sini hari ini. 

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 7.30 pagi disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim. 

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan melepaskan kira-kira 2,500 peserta yang melibatkan kategori 5 kilometer (km) dan 3 km.

Baginda turut berkenan menyertai larian sambil mengenakan kain pelekat dan topi jerami bertepatan suasana kampung yang menjadi tema acara.

Tengku Zafrul ketika ditemui selepas larian berkenaan berkata Sultan Sharafuddin menitahkan supaya acara serupa diteruskan pada masa akan datang di kawasan luar bandar dengan melibatkan penduduk tempatan bagi memupuk gaya hidup sihat.

"Pada masa yang sama, acara ini dapat mempromosikan tarikan pelancongan yang ada selain menjadi kawasan pertanian dan keusahawanan," katanya dan memaklumkan Larian KITA yang seterusnya akan diadakan di Klang tahun hadapan dengan sasaran untuk menarik lebih ramai penyertaan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan