AM

SIC, TP-LINK METERAI LOI, TAWAR SISTEM RUMAH PINTAR DI SELANGOR

17/12/2024 08:54 PM

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- Selangor Industrial Corporation (SIC) mengumumkan kerjasama strategik menerusi pemeteraian surat hasrat (LoI) dengan TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd (TP-Link) bagi memperkenalkan Tapo, sebuah sistem rumah pintar kepada pemilik kediaman di Selangor.

 Pengurus Besar Pembangunan Bandar Pintar SIC Md Fauzan Elham Alhim berkata pemeteraian dokumen itu merupakan langkah signifikan berhubung kerjasama antara kedua-dua pihak, sekali gus mampu untuk membuka laluan bagi kolaborasi dan inovasi lain pada masa hadapan. 

"Tapo, jenama rumah pintar di bawah TP-Link, dikenali kerana rangkaian produknya yang berkualiti tinggi dan pelbagai, direka untuk memberikan kemudahan, keselamatan serta kecekapan kepada isi rumah moden.

"Kerjasama ini dijangka mentakrifkan semula pengalaman membeli rumah dengan mengintegrasikan kehidupan moden dan teknologi pintar untuk mencipta gaya hidup tanpa gangguan serta menyeronokkan bagi pembeli rumah di Selangor,"  katanya selepas Majlis Tandatangan LoI di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama tersebut membolehkan pembeli rumah mempertingkatkan ruang kediaman dengan pelbagai peranti rumah pintar inovatif daripada Tapo seperti kamera keselamatan, pencahayaan pintar dan alat automasi selaras dengan komitmen SIC untuk menawarkan pengintegrasian teknologi terkini berdasarkan gaya hidup masa kini.

LoI berkenaan ditandatangani Md Fauzan mewakili SIC manakala TP-Link diwakili Pengarah Wilayahnya Hugo Cai.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan