AM

Malaysia, Turkmenistan Teroka Peluang Kerjasama Dalam Sektor Pertanian

18/12/2024 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Turkmenistan akan meneroka potensi kerjasama dalam teknologi pertanian, pengurusan sumber air, penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan kapasiti. 

Kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan perkara itu dibincangkan semasa Timbalan Menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup menerima kunjungan hormat Timbalan Pengerusi Menteri Kabinet Turkmenistan Tanryguly Atahallyyev di Putrajaya hari ini.

Menurut kenyataan itu, ini merupakan pertemuan kali pertama antara Malaysia dan Turkmenistan bagi sektor pertanian dan kedua-dua pemimpin mengambil peluang untuk bertukar-tukar maklumat mengenai struktur serta bidang tanggungjawab kementerian masing-masing selain perkembangan terbaharu di kedua-dua negara.

“YB Datuk Arthur memaklumkan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai jenis buah-buahan tropika yang berkualiti tinggi dan mempelawa Turkmenistan untuk mempertimbangkan kemasukan buah-buahan tropika Malaysia ke pasaran Turkmenistan,” katanya.

Atahallyyev, yang diiringi Menteri Pertanian Turkmenistan Charyyar Chetiyev, berada di Malaysia bersempena lawatan rasmi dua hari Presiden Serdar Berdimuhamedov bermula hari ini.

Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan dalam sektor pertanian serta agromakanan direkodkan sebanyak RM32.01 juta pada 2023 manakala jumlah bagi lapan bulan pertama tahun ini mengatasi angka tersebut iaitu RM44.2 juta.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan