PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow di Seri Perdana di sini.
Berdimuhamedow dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar sebaik tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11 pagi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Terdahulu, Berdimuhamedow diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan, kesenian dan warisan serta pembangunan industri getah dan kerjasana ekonomi.
Menurut kenyataan oleh Wisma Putra semalam, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan dan keterhubungan.
Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025.
Menurut kenyataan itu, Berdimuhamedow diiringi enam timbalan perdana menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Rashid Meredov serta lima menteri Kabinet termasuk Menteri Pertahanan Maksat Babayev, Menteri Kebudayaan Atageldi Shamyradov dan Menteri Pertanian Charyyar Chetiyev.
Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan menunjukkan pertumbuhan ketara, dengan jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus dari Januari hingga Oktober 2024.
Nilai perdagangan itu meningkat kepada RM63.28 juta (US$13.90) berbanding RM36.19 juta (US$7.91 juta) pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pada 2023, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM48.62 juta (US$10.57 juta).
-- BERNAMA
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan