AM

MCMC, DPCH Meterai MoU Sokong Bandaraya Pintar, Pelan Perak Sejahtera - Fahmi

19/12/2024 02:42 PM

IPOH, 19 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara lain bertujuan menyokong pelaksanaan program bandar pintar di Bandaraya Ipoh. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerjasama tersebut merupakan permulaan yang positif kepada usaha pemerkasaan program bandar pintar yang bakal memberi manfaat kepada penduduk Ipoh.

"Kerjasama strategik ini bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan antara MCMC dan DPCH dalam usaha mempertingkatkan infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital, serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau," katanya dalam ucapan semasa majlis menandatangani MoU tersebut pada Perak Economic Outlook 2025 di sini, hari ini.

Pertukaran MoU yang ditandatangi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, Suhaimi Tahir disaksikan Fahmi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.  

Sementara itu Fahmi berkata di bawah MoU tersebut, liputan internet di Perak akan dipertingkatkan untuk menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang telah dipersetujui.

Di samping itu, katanya MCMC juga akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

Fahmi juga berkata di bawah MoU ini, turut dilaksanakan penerokaan kerjasama berkaitan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak yang menyasarkan pembabitan komuniti setempat di kawasan NADI.

"Ternyata, inisiatif-inisiatif yang saya sebutkan tadi amat penting untuk menjadika bandar raya Ipoh sebuah bandar raya yang bukan sahaja efisien dan inovatif, malah juga lestari.

"Kerjasama antara MCMC dengan DPCH adalah bukti bahawa pendekatan kolaboratif adalah langkah terbaik untuk memacu inisiatif ini," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan