AM

Pertikaian Laut China Selatan: Malaysia Tidak Boleh Bergantung Pada Nota Bantahan

19/12/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Malaysia bersetuju bahawa pendekatan semata-mata mengeluarkan nota bantahan kepada negara-negara yang terlibat dalam pertikaian tuntutan di perairan Laut China Selatan tidak mencukupi.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata platform dan mekanisme seperti rundingan dan perbincangan dua hala juga perlu terus diperkasa serta diperhebatkan bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

“Saya setuju bukan hanya perlu nota bantahan tetapi mekanisme lain seperti perbincangan antara dua pihak, proses rundingan antara dua pihak juga perlu diperhebat supaya kita boleh bincang secara ‘adik beradik’ untuk menyelesaikan dan menjernihkan isu tertentu.

“Pendekatan kita harus soft power, soft skill dalam urusan-urusan yang dilihat begitu kontroversi, jangan sampai ada isu yang menimbulkan ketegangan (escalation),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mohamad berkata demikian sebagai reponds kepada pandangan bekas Menteri Luar Senator Tan Sri Anifah Aman pada sesi itu yang menyatakan bahawa pendekatan mengeluarkan nota bantahan bukanlah penyelesaian untuk menangani isu pertikaian tuntutan di perairan Laut China Selatan kerana ia sekadar bertujuan untuk rekod pihak-pihak berkenaan.

Mengambil pengalamannya dengan menjadikan Vietnam sebagai contoh, Anifah berkata negara itu kekal sebagai sumber sokongan yang paling kukuh Malaysia dalam isu pertikaian tuntutan di Laut China Selatan dahulu kerana pendekatan beliau yang sering menekankan perbincangan secara dua hala. 

“Tiada yang lebih penting daripada hubungan dua hala, saya berhubung melalui telefon dengan kebanyakan, jika tidak semua, menteri ASEAN. Kalau ada sedikit masalah, kita telefon terlebih dahulu sebelum isu tersebut (masalah) dibawa ke media atau dikeluarkan secara umum.

“Yang penting, saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh menyelesaikan masalah hanya dengan nota bantahan. Pergilah ketuk pintu dan katakan, bolehkah kita duduk dan berbincang. Supaya ini tidak menjadi masalah yang besar,” kata Anifah.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai implikasi tindakan kerajaan Filipina yang meluluskan akta baharu menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah dan peta melanggar sempadan maritim negeri itu, Mohamad berkata kerajaan tidak berkompromi berhubung isu itu malah telah menghantar nota bantahan mengenainya. 

Beliau berkata Sabah merupakan sebuah negeri yang menyertai Malaysia pada 1963 dan telah melaksanakan hak mereka (right to self-determination) untuk bersama-sama di dalam persekutuan berkenaan, melalui pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Jadi Filipina tidak ada hak untuk mengatakan bahawa Sabah itu adalah milik mereka dan dalam konteks ini, setelah mendapat nasihat daripada semua agensi, Kementerian Luar telah menghantar nota bantahan kita terhadap Filipina bahawa akta-akta yang telah diluluskan itu, tidak selari dengan semangat undang-undang antarabangsa kerana melangkaui sempadan maritim kita,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan