AM

Perolehan Pesawat Hornet Milik Kuwait Di Peringkat Akhir, Tunggu Kelulusan AS

19/12/2024 06:28 PM

SEREMBAN, 19 Dis (Bernama) -- Perolehan lebih 30 pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet terpakai milik Tentera Udara Kuwait (KAF) kini berada di peringkat akhir menanti kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS), selaku pembuat asal pesawat berkenaan.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata perbincangan Malaysia termasuk bersama kerajaan Kuwait mengenai perkara itu juga menunjukkan perkembangan positif.

"Segala persuratan telah dilaksanakan dan dalam perhatian AS, kita sekarang hanya menunggu kelulusan daripada AS, setakat ini tiada masalah.

"Tindakan lanjut bergantung kepada kelulusan yang diberi. Kita telah menubuhkan jawatankuasa antara Kementerian Pertahanan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta KAF,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan berperanan berbincang langkah seterusnya setelah mendapat kelulusan perolehan termasuk pelaksanaan pengambilalihan pesawat itu setelah ia diluluskan nanti.

Mohd Asghar Khan berkata pertambahan pesawat Kuwait itu akan memberi kelebihan kepada TUDM dalam melaksanakan tugas rondaan dengan lebih efektif, selain dibantu dengan pengoperasian pesawat SU 30 MKM dan F/A 18 Hornet Skuadron 18 yang digunakan ketika ini.

Pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet terpakai milik KAF itu bagi menambah lapan F/A-18C/D yang dimiliki TUDM ketika ini sekali gus mengukuhkan lagi pertahanan negara.

Oktober lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Norden dilaporkan berlepas ke Kuwait untuk meninjau sendiri status terkini pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah itu.

Kerajaan Kuwait telah memberikan maklum balas positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik KAF itu dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi memulakan rundingan mengenainya.

Sementara itu, Mohd Asghar Khan berkata Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM merupakan acara tahunan bagi menghargai prestasi setiap pegawai dan anggota yang mengharumkan imej sama ada di peringkat TUDM serta negara. 

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan PTU kepada empat pegawai yang mewakili Kementerian Pertahanan dan Malaysia ke Seoul International Invention Fair (SIIF 2024), Korea Selatan, November lepas.

"Pameran itu disertai 32 negara dan pasukan inovasi TUDM berjaya merangkul tiga pingat emas dan satu pingat perak, ini satu pencapaian besar dan sangat bermakna buat TUDM," katanya.

Selain itu, beliau juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Sukan kepada atlet yang memperoleh kejayaan dan mengharumkan nama TUDM dan negara dalam kejohanan sukan yang disertai.

Mohd Asghar Khan berharap pengiktirafan dan anugerah yang diterima itu menjadi pemangkin kepada warga TUDM untuk terus berganding bahu dan berusaha meningkatkan kualiti diri masing-masing sekali gus mencipta kecemerlangan dan kejayaan pada masa akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan