BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

KPM Perluas Kelas Prasekolah Baharu, Melebihi Sasaran 2024

19/12/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya membuka 134 kelas prasekolah baharu pada tahun ini, melebihi sasaran ditetapkan iaitu 129 kelas, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pencapaian positif kementerian dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan prasekolah di Malaysia.

“Kadar penyertaan bagi kanak-kanak dalam lingkungan lima tahun ke atas pada 2024 adalah sebanyak 93.5 peratus dan pendaftaran kanak-kanak itu di bawah prasekolah KPM ialah 153,329 orang.

“Antaranya, di bawah Tabika KEMAS, jumlah penyertaan murid adalah sebanyak 80,971 orang, Tabika Perpaduan mencatatkan penyertaan 15,889 murid manakala tabika swasta pula sejumlah 216,212 orang,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berkenaan sasaran KPM dalam memastikan tiada keciciran pelajar dalam pendidikan prasekolah serta unjuran KPM dalam memastikan sasaran 100 peratus kanak-kanak berumur enam tahun didaftarkan untuk mengikuti kelas prasekolah. 

Wong berkata bagi memastikan kurikulum prasekolah kebangsaan kekal relevan, KPM sedang membangunkan kurikulum prasekolah yang baharu dan akan dilaksanakan bermula 2026. 

Beliau berkata pelaksanaan kurikulum prasekolah kebangsaan itu adalah penting sebagai satu mekanisme untuk memastikan keseragaman dan keselarasan dalam penyampaian pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam kalangan murid prasekolah sama ada di prasekolah awam mahupun di tabika swasta.

“Pada masa yang sama, KPM juga memastikan bahawa guru-guru yang berkelayakan dan terlatih akan diisi untuk mengajar di prasekolah. 

“Selain itu, kita juga memastikan bahawa semua prasekolah yang beroperasi dilengkapi dengan infrastruktur dan kelengkapan yang mencukupi bagi memastikan pengoperasian kelas prasekolah berjalan dengan baik dan lancar,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan