AM

Malaysia Sokong Deklarasi Kaherah Perkasa Belia Untuk Ekonomi Mampan

20/12/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap Deklarasi Kaherah yang diluluskan semasa Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir, dalam usaha memperkasa belia sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi mampan.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara semasa Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan sokongan Malaysia terhadap pembangunan belia, khususnya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.

“Kita berhadapan dengan belia zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika.

“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut. Ini juga yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sidang Kemuncak D-8 yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu lepas itu membawa tema Melabur dalam Belia dan Menyokong PKS: Membentuk Ekonomi Masa Depan 

Zambry berkata, mesyuarat Ketua-ketua Negara dan Kerajaan pada sidang kemuncak itu mencapai persetujuan untuk menyokong Deklarasi Kaherah sebagai bukti komitmen memperkasakan belia sebagai pemimpin masa depan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi mampan.

Beliau menegaskan bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah tulang belakang kepada daya tahan ekonomi dan inovasi.

“Dalam rangka kerja D-8, pengukuhan PKS dan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam industri baru seperti ekonomi halal, perniagaan tani, teknologi hijau dan penyelesaian digital sesama negara ahli D-8 boleh membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah blok di bawah Negara-negara D-8, Malaysia mencadangkan negara-negara anggota untuk menawarkan biasiswa, latihan vokasional, dan program permulaan yang khusus untuk memperkasakan belia di Palestin yang terlibat dengan konflik yang masih tiada kesudahan kerana mereka juga mempunyai impian dan generasi yang perlu dibangunkan.

Sementara itu, Zambry berkata semasa Sidang Kemuncak D-8 kali ini, Kerajaan Mesir turut mengadakan sesi khas untuk membincangkan situasi semasa di Palestin dan Lubnan.

“Jelas sekali, terdapat dwistandard yang mengawal setiap tindak tanduk masyarakat antarabangsa. Seluruh dunia telah menyaksikan dan mengutuk Israel atas kekejamannya, tetapi tidak seorang pun, bukan satu entiti pun dapat menghalangnya.

Semuanya kerana Israel disokong oleh kuasa Barat; kuasa yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, tetapi hanya apabila ia sejajar dengan kepentingan mereka, acuh tak acuh kepada rakyat Palestin kehilangan nyawa dalam proses itu,” katanya.

Zambry berkata Malaysia turut menyeru Kumpulan Negara D-8 mengambil tindakan segera, bergerak sebagai satu kumpulan.

“Sejarah akan menilai kita bukan dengan ucapan yang kita buat hari ini, tetapi dengan tindakan yang kita lakukan. Janganlah dikatakan kita terbiar sedangkan seluruh rakyat Palestin menderita.

Janganlah dikatakan bahawa kita membenarkan kemunafikan untuk menentukan punca keadilan. D-8 mesti mengatasi kemunafikan ini. Kita mesti menjadi suara orang yang tidak bersuara. Kita mesti berdiri dengan satu suara, dan satu tindakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan