AM

Lebih 2.5 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuh Raya Sempena Krismas, Cuti Sekolah

21/12/2024 10:48 AM

PUTRAJAYA, 21 Dis (Bernama) -- Aliran trafik di lebuh raya utama dijangka meningkat dengan ketara mencecah sebanyak 2.55 juta kenderaan sehari menuju ke wilayah timur, utara, dan selatan, sempena cuti sambutan Krismas dan cuti sekolah hujung tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun berkata sebanyak 2.12 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS. Ini termasuk 188,130 kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak; 87,380 di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1; 39,830 di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2; dan 115,590 di Lebuh Raya Pantai Barat (WCE).

“Untuk memastikan kelancaran trafik sepanjang cuti perayaan Hari Natal ini, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh ini,” kata Sazali dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian tol percuma di semua lebuh raya selama dua hari bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam, 24 Dis (Selasa) sempena Hari Natal.

Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Sazali berkata Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 7 pagi hingga 10 malam dan pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau paparan kamera liter tertutup (CCTV) di https://www.llm.gov.my.

Sazali turut menasihati pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA, memastikan baki kad Touch 'n Go dan e-dompet mencukupi serta mengingatkan penunggang motosikal bahawa lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk mereka tetapi turut digunakan oleh kenderaan yang berhenti jika berlaku kerosakan atau kecemasan lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan