AM

Saya Tidak Pernah Campur Tangan Dalam Urusan Badan Kehakiman - PM Anwar

21/12/2024 04:06 PM

SUBANG, 21 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmennya untuk menjamin kebebasan badan kehakiman negara di samping melaksanakan reformasi tadbir urus, dan menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak campur tangan dalam hal berkaitan badan kehakiman sepanjang dua tahun memegang jawatan perdana menteri.

Beliau turut menekankan pendirian tidak bertolak ansur terhadap penyalahgunaan kuasa dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan perkhidmatan awam, dengan menyatakan bahawa salah laku tidak akan dibenarkan di bawah kepimpinannya.

“Selama dua tahun saya memegang jawatan Perdana Menteri, saya tidak pernah campur tangan atau mengarahkan mana-mana hakim dalam sebarang isu.

“Tidak, saya tidak akan membenarkan, tiada kompromi (jika ada) sebarang kes yang melibatkan pasukan saya dalam Kabinet dan dalam perkhidmatan awam, itu saya boleh jamin.

"Untuk buka fail 15 tahun lepas, itu batasan saya, tetapi (jika ada) sebarang kes baharu dibawa kepada saya, saya akan menanganinya. Itu reformasi yang saya nyatakan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sidang media khas itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, bersama kira-kira 100 wartawan tempatan dan antarabangsa.

Anwar seterusnya mengulangi komitmen kerajaan terhadap agenda reformasinya, dan beliau juga faham bahawa usaha melaksanakan perubahan yang ketara memerlukan masa dan usaha gigih.

"Kita jelas, kerajaan ini komited kepada reformasi, tetapi ia mengambil masa," katanya.

Menjawab beberapa kritikan terhadapnya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada semua tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan gagal isytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Anwar berkata beliau bingung dengan tindakan pihak berkenaan, dan mengatakan bahawa beliau tidak akan mengganggu proses kehakiman.

Perdana Menteri mengulangi bahawa badan kehakiman negara ini adalah bebas.

“Mengapa letakkan kesalahan kepada PM (Perdana Menteri). Anda mahu saya campur tangan dalam proses kehakiman? Anda sering bertanya tentang pandangan peribadi saya, suka atau tidak suka..

“Saya memang ada pandangan peribadi, tapi kita bercakap soal kebebasan badan kehakiman.. apabila hakim berikan keputusan berbeza dengan pandangan anda, anda salahkan orang lain dan tidak bersetuju dengan keputusan itu,” katanya.

Khamis lepas Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membebaskan Rosmah daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN atas alasan pertuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.

Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rosmah dan beliau meminta semua pihak supaya menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

"Terpulang kepada Mahkamah Rayuan, biar Mahkamah Rayuan yang buat keputusan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan