AM

Malaysia Tegaskan Komitmen Perkukuh Hubungan ASEAN-GCC

21/12/2024 05:11 PM

SUBANG, 21 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dengan menekankan kepentingan keterlibatan bersepadu antara negara anggota dan memastikan ASEAN kekal relevan dalam menangani cabaran global.

Beliau menekankan peranan Malaysia ketika bersiap sedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, dengan menitikberatkan keperluan usaha kolektif bagi memperkukuh kepusatan ASEAN serta menjalin kerjasama strategik dengan rantau lain termasuk Timur Tengah.

“Kita perlu mematangkan beberapa keputusan untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini sambil mengekalkan keterlibatan positif dengan pemain global seperti GCC.

ASEAN mesti kekal padu dan bersatu. Hubungan dengan GCC telah membuahkan hasil, dan kita akan terus membina asas kukuh ini,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Pada 13 Dis, Bernama melaporkan Sidang Kemuncak GCC-China yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 2025 semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN dijangka membentuk pakatan trilateral berpengaruh dan membuka potensi besar untuk kerjasama pelbagai hala merentasi sektor.

Menyentuh cabaran dalaman ASEAN, Anwar mengulangi komitmen blok itu terhadap rangka kerja Konsensus Lima Perkara (5PCs), khususnya dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.

“Dalam sesi terakhir yang kita adakan, kita membenarkan jiran dan pihak yang lebih mesra untuk terus terlibat dengan rangka kerja umum Konsensus Lima Perkara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan