PUTRAJAYA, 21 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan 135 kes cubaan menyeludup dadah ke dalam atau keluar negara melalui mod udara, iaitu menggunakan perkhidmatan mel, kargo dan bungkusan, tahun ini.
JKDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 22 peratus atau 24 kes berbanding 111 kes yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada Selasa lepas bagi memuktamadkan strategi penguatkuasaan di dalam kawasan zon bebas, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Hasil perbincangan itu, JKDM memaklumkan akan menggunakan sepenuhnya tambahan 66 mesin pengimbas yang ditempatkan di seluruh negara dan 20 Anjing Pengesan Dadah (APD) bagi memperkasakan aktiviti penguatkuasaan membanteras penyeludupan dadah.
"JKDM percaya libat urus yang berterusan dengan pihak berkuasa zon dan operator terminal kargo akan dipanjangkan ke semua pintu masuk antarabangsa lain dalam usaha menyekat pergerakan dadah melalui mod udara," menurut kenyataan yang dikeluarkan Cawangan Perhubungan Awam JKDM hari ini.
Sehubungan itu, JKDM turut mengingatkan semua pengguna perkhidmatan mod udara untuk lebih berhati-hati dalam membuat pengikraran dagangan atau mengangkut barang dagangan agar tidak terjebak dalam aktiviti penyeludupan dadah.
"JKDM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana orang yang terlibat dalam melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234)" menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial