BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
MELAKA, 22 Dis (Bernama) -- Acara Larian Budaya Antarabangsa #DUYONGKita akan dijadikan satu daripada program sempena penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) pada September tahun hadapan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata acara berkenaan akan dianjurkan pada skala lebih besar melibatkan penyertaan peserta luar negara yang hadir pada WTD dan WTC dengan menggayakan pakaian tradisi negara masing-masing.
Beliau berkata penganjuran acara berkenaan pada tahun depan ekoran kejayaan program Larian Budaya Antarabangsa #DUYONGKita yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) bagi kategori 'Largest Participation in a Costume Run' dengan penyertaan sebanyak 7,475 orang.
"Selain itu, acara larian tersebut dilihat menjadi platform terbaik khususnya buat Melaka untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum di negeri ini menerusi pakaian, persembahan kebudayaan dan makanan tradisional masyarakat tempatan.
"Bagaimanapun lokasi penganjuran acara larian tersebut akan diadakan di tengah Bandaraya Melaka dengan lebih besar dan menarik lagi melibatkan penyertaan lebih ramai peserta tempatan dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Larian Budaya Antarabangsa #DUYONGKita 2024 di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata acara larian budaya berkenaan juga berupaya menjadi platform terbaik bagi menyatupadukan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata penganjuran kali kedua Larian Budaya Antarabangsa #DUYONGKita mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Beliau berkata pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama pemasangan panel sistem solar bernilai RM11,800 dan hadiah lain antaranya motosikal serta kambing bernilai keseluruhan RM50,000.
"Selain masyarakat tempatan, larian ini juga mendapat penyertaan daripada peserta luar negara antaranya Indonesia dan Singapura serta komuniti anak istimewa dari 'Bikeisable' sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa anak istimewa untuk melibatkan anak-anak mereka dengan masyarakat dan dunia luar.
"Ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya atau terlantar tidak perlu malu… kerajaan negeri amat menyokong komuniti anak istimewa ini dan akan membantu mereka untuk bersama masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial