AM

PJH Tidak Dibenarkan Iklankan Promosi Visa Mujamalah Semasa Musim Haji

23/12/2024 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Agensi pelancongan yang telah menerima lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Tabung Haji (TH) tidak dibenarkan membuat sebarang promosi bekaitan visa mujamalah atau furada semasa musim haji.

Ketua Jabatan Haji TH Mohd Hisham Harun berkata PJH perlu mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan TH, bagi mengelakkan kes penipuan melibatkan visa berkenaan. 

“Visa yang telah diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia ialah 31,600, itu satu yang pasti. Visa mujamalah atau furada ini tidak ada kepastian berapakah jumlah yang akan diberikan atau siapa yang akan dapat. Jadi bila perkara ini tidak ada ketentuan maka hendaklah lebih baik PJH tidak mengiklankan visa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga (KHUP 3) di sini hari ini.

Mohd Hisham berkata visa mujamalah itu merupakan visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada individu dan organisasi untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Justeru Mohd Hisham menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan  tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan atau promosi, kononnya menawarkan visa mujamalah atau furada.

“Ini antara sebab kita tidak membenarkan PJH untuk membuat promosi tentang visa ini, kerana visa ini selalu disalahgunakan dan ada pihak yang mendakwa bahawa syarikat berkenaan ada visa haji tetapi sebenarnya tiada,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan kepada orang ramai untuk membuat aduan kepada TH, sekiranya melihat iklan atau promosi penawaran visa mujamalah atau furada

“Kami akan membuat tindakan berdasarkan Akta Tabung Haji 1995, dengan mereka yang membuat (kesalahan) itu boleh didenda atau dipenjarakan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan