AM

Program Feed-to-educate Charity Right DRB-HICOM Dilancarkan Di Sarawak

23/12/2024 10:17 PM

KUCHING, 23 Dis (Bernama) -- DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) telah melancarkan ‘DRB-HICOM Charity Right Feed-To-Educate Programme’, yang merupakan inisiatif tanggungjawab korporat bertujuan memberikan bantuan makanan kepada murid dan keluarga yang memerlukan daripada dua buah sekolah di sini.

DRB-HICOM dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui inisiatif itu, sebanyak 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang dan SK Siol Kanan di sini, akan menerima kotak makanan setiap bulan.

“Bantuan bernilai kira-kira RM200 melibatkan barangan dapur dan keperluan asas ini akan diberikan kepada keluarga mereka secara berterusan untuk tempoh setahun,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM Cairil Irwan Amir yang berucap pada pelancaran program itu di SK Siol Kanan baru-baru ini berkata program ini mencerminkan fokus berpanjangan syarikat dalam mempromosikan pendidikan yang lebih baik dalam rangka kerja tanggungjawab korporatnya.

Beliau berkata di bawah program itu, ibu bapa atau penjaga akan menghadiri pertemuan berkala dengan pihak sekolah untuk menyokong perjalanan pendidikan murid dengan memenuhi keperluan pemakanan mereka serta keluarga, di samping mempromosikan kehadiran sekolah yang baik untuk meningkatkan pencapaian akademik.

Program DRB-HICOM Charity Right Feed-To-Educate, ini bukan sahaja bertujuan memberikan sokongan nutrisi, tetapi juga memantau dengan teliti kehadiran, kemajuan akademik dan status kesihatan setiap murid. Dengan melibatkan ibu bapa dan penjaga, matlamat kami untuk menggalakkan murid-murid ini memperoleh pendidikan yang lebih baik dengan meningkatkan kehadiran mereka ke sekolah,” kata Cairil.

“Program ini bukan sekadar pengagihan kotak makanan oleh DRB-HICOM. Ia juga melibatkan anak syarikat kami – Bank Muamalat, melalui ceramah motivasi mengenai literasi kewangan dan kesedaran mengenai penipuan, manakala PROTON mendedahkan pelajar mengenai kemajuan teknologi terkini.

“Kami berharap sesi-sesi ini dapat membantu mengukuhkan literasi kewangan mereka dan lebih memberi inspirasi kepada pelajar dalam mengejar ilmu,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran program itu ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Sariah Mos, Ketua Pengurusan Dana Charity Right Zafina Khuzaimah, Pengurus Projek Charity Right Luqman Hakim, Guru Besar SK Siol Kanan Maimunah Ba’ee, wakil pengajar SK Batu Lintang Wan Hanin Wan Omar, selain wakil PROTON dan Bank Muamalat Cawangan Kuching serta ibu bapa dan murid kedua-dua sekolah.

Dengan kerjasama Charity Right, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bantuan makanan di bawah Mercy Mission Malaysia, program ini juga memberi peluang kepada ibu bapa yang terlibat untuk menghadiri sesi latihan dan ceramah motivasi yang bertujuan untuk pembangunan peribadi dan profesional.

Ini akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih bersepadu di sekitar murid, dengan memberikan nilai yang lebih tinggi terhadap pendidikan dan peningkatan diri.

Melalui kerjasama anak syarikatnya, DRB-HICOM akan terus komited mewujudkan impak sosial yang bermakna melalui inisiatif yang menyokong agenda pendidikan negara dan mempromosikan pembangunan holistik generasi masa depan Malaysia.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan