AM

MAIM Agih Kutipan Zakat RM134 Juta Kepada Lapan Golongan Asnaf

24/12/2024 10:27 AM

MELAKA, 24 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengagihkan hasil kutipan zakat di bawah Zakat Melaka berjumlah RM134 juta kepada lapan golongan asnaf di negeri itu dalam usaha membantu golongan berkenaan dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Nov lepas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pengagihan zakat berkenaan disalurkan menerusi pelbagai skim dan program bantuan meliputi keperluan asas, pendidikan, kesihatan, modal perniagaan dan pembangunan sosioekonomi. 

"Saya mahu komitmen ini terus diperkasa bagi memastikan setiap dana zakat yang dikumpul dan diurus dapat diagihkan secara optimum demi membantu golongan yang memerlukan.

"Langkah ini dilihat selari dengan aspirasi Melaka ke arah mewujudkan masyarakat inklusif, makmur dan sejahtera," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Majikan Zakat Melaka 2023 di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kutipan zakat di negeri itu meningkat sebanyak 4.68 peratus kepada RM125.5 juta dalam tempoh 1 Jan hingga semalam berbanding RM119.9 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata momentum peningkatan jumlah kutipan zakat berkenaan ekoran usaha Zakat Melaka menambah baik perkhidmatan melalui kempen dan promosi zakat secara berterusan, dakwah melalui platform media massa, kunjung hormat, taklimat zakat dan sebagainya.

"Zakat Melaka sentiasa berusaha mendekatkan masyarakat melalui pelbagai skim dan program seperti Skim Potongan Gaji Zakat dan Program Wakalah Agihan Zakat.

"Sejak Skim Potongan Gaji Zakat mula diperkenalkan, trend kutipan dan peratus pencapaian Zakat Pendapatan dilihat melonjak naik dan memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata selain itu, majikan juga boleh mendapatkan pengembalian semula wang zakat melalui Program Wakalah Agihan Zakat untuk dimanfaatkan kembali kepada anggota perkhidmatan di jabatan masing-masing mengikut dasar dan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan MAIM dan Zakat Melaka.

Terdahulu, pada majlis berkenaan sebanyak 11 agensi dan syarikat korporat di Melaka melunaskan zakat perniagaan masing-masing melibatkan jumlah keseluruhan RM479,039.98.

Selain itu, sebanyak 11 agensi awam dan sembilan agensi swasta diberi penghargaan susulan sumbangan zakat masing-masing manakala enam syarikat korporat, jabatan serta agensi kerajaan diberi anugerah khas kerana berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam melunaskan zakat secara konsisten selain aktif bekerjasama dengan Zakat Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan