AM

Lapangan Terbang Baharu Nilai Tambah Pertumbuhan Ekonomi Sarawak - Abang Johari

24/12/2024 06:29 PM

KUCHING, 24 Dis (Bernama) -- Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri akan membiayai pembinaan lapangan terbang berkenaan memandangkan terdapat keperluan mendesak terhadap pelaksanaannya.

Beliau berkata pembinaan lapangan terbang itu akan mengukuhkan peranan syarikat penerbangan milik Sarawak selepas pengambilalihan MASwings, untuk menghubungkan negeri ini dengan destinasi serantau dan antarabangsa.

“Walaupun menguruskan syarikat penerbangan bukanlah satu usaha mudah, kita tiada pilihan selain melabur dalam syarikat penerbangan baharu ini bagi memenuhi tujuan dengan model perniagaan kita sendiri.

“Bergantung kepada syarikat penerbangan sedia ada untuk memenuhi keperluan bukanlah pilihan jika Sarawak ingin menjadi destinasi yang dicari oleh pelancong dan golongan perniagaan,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Krismas.

Abang Johari berkata ini adalah aset strategik yang ingin dibangunkan dan dicapai oleh Sarawak dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau yang mengakui usaha itu memerlukan masa tetap berharap ia akan membantu Sarawak mencapai aspirasi negeri berstatus maju.

“Tidak dinafikan kita mesti bekerja lebih keras untuk menjayakan sesuatu dan mengelak daripada diganggu oleh unsur-unsur yang suka melihat kita di belakang mereka.

“Inilah masanya bagi kita, rakyat Sarawak untuk berdiri teguh dan bersatu menjadi masyarakat yang penuh keberanian bagi menentukan nasib kita,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan