AM

Malaysia Ketengahkan Model Perpaduan Nasional Pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 - Saraswathy

25/12/2024 01:35 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Malaysia bersedia mengetengahkan model perpaduan nasionalnya yang unik pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025, dengan Kementerian Perpaduan Negara menekankan aspek keharmonian pelbagai kaum, budaya, dan etnik di negara ini menjadi tarikan utama di peringkat global.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy berkata Kementerian Perpaduan Negara adalah satu-satunya seumpamanya di dunia, menjadikan Malaysia sebagai contoh teladan bagi kehidupan bersama yang harmoni untuk negara lain.

“Kementerian Perpaduan adalah unik kerana hanya ada satu kementerian seperti ini di dunia. Di peringkat antarabangsa, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya, dan etnik yang mampu mengekalkan tahap perpaduan dan persefahaman yang sangat tinggi dalam kalangan rakyatnya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini, semalam.

Kejayaan Malaysia dalam memupuk perpaduan turut mendapat pengiktirafan global, sebahagiannya hasil usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang giat berinteraksi dengan pemimpin antarabangsa untuk menarik pelaburan ke Malaysia.

“Satu daripada tarikan untuk pelabur adalah perpaduan yang wujud dalam kalangan komuniti kita. Negara lain berminat untuk belajar daripada pengalaman kita. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kita berjaya mengatasinya dan muncul sebagai model teladan bagi rantau ini,” tambahnya.

Menurut Saraswathy, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada ketiadaan ketegangan kaum tetapi pada keupayaan negara untuk memupuk keamanan dan keharmonian.

“Apabila kita bercakap tentang perpaduan, ia bukan sekadar ketiadaan perpecahan. Di sesetengah negara, mungkin tiada perpecahan nyata, tetapi wujud ketegangan atau kebencian antara kaum. Itu tidak berlaku di Malaysia. Kita telah membentuk masyarakat yang berpaksikan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.

Menjelaskan kejayaan Malaysia, beliau menekankan pentingnya mempromosikan nilai perpaduan di peringkat ASEAN, terutamanya apabila Malaysia bersiap sedia untuk memimpin blok serantau itu pada 2025.

“Kami ingin menunjukkan bahawa kami bukan sahaja melabur dalam sumber manusia dan infrastruktur tetapi juga dalam nilai-nilai yang mendukung perpaduan. Ini adalah sesuatu yang boleh kita ketengahkan di peringkat ASEAN, terutamanya konsep kehidupan bersama secara harmoni,” katanya.

Beliau menambah bahawa pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha Malaysia akan terus mendorong rakyat untuk menghargai dan mengekalkan keharmonian negara.

“Apabila dunia melihat kita sebagai sebuah negara yang aman, ia memotivasi rakyat kita untuk terus mempertahankan dan meningkatkan keharmonian ini. Ia adalah proses dua hala yang mengukuhkan komitmen kita terhadap perpaduan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan