AM

Susunan Batu Marmar Dengan Tulisan Ayat Al-Quran Tarikan Baharu Di Gua Musang

25/12/2024 05:25 PM

GUA MUSANG, 25 Dis (Bernama) -- Susunan 10 batu marmar yang dihiasi dengan ukiran zikir dan potongan ayat al-Quran di Persimpangan Bendahara, kini menjadi tarikan baharu pengunjung yang melalui bandar ini.

Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata batu seberat 100 metrik tan tersebut memberi imej baharu kepada kawasan tersebut, sambil mempromosikan batu marmar asli bermutu tinggi yang terdapat di jajahan itu.

“Sebagai pintu masuk ke negeri Kelantan, kami berusaha menceriakan bandar Gua Musang dengan mercu tanda unik yang boleh dikenang oleh pengguna jalan raya dan pengunjung,” katanya ketika ditemui pemberita di Persimpangan Bendahara, baru-baru ini.

Menurutnya ramai tidak menyangka bait-bait zikir dan potongan ayat pendek al-Quran yang terukir pada batu marmar tersebut dihasilkan secara ketepatan tangan oleh seorang pelukis yang dibawa khas dari Golok, Thailand.

“Ia merupakan antara keunikan mercu tanda ini, selain penggunaan bahan dan cara susunannya,” katanya,

Nik Raisnan berkata kesemua batu marmar itu berasal dari Kampung Star, Gua Musang, dan pembinaannya adalah hasil usaha sama Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan syarikat pengeluar batu marmar serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Mercu tanda ini juga diharapkan dapat membantu pengguna jalan raya yang melalui persimpangan ini memperoleh pahala melalui bacaan zikir yang terukir di batu-batu tersebut,” katanya.

Projek mercu tanda bermula pada Mei lalu dan selesai sepenuhnya pada September.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan