AM

75 Kes Dengan Kompaun RM8,600 Dikesan Sepanjang SHMMP Krismas - KPDN

30/12/2024 10:17 AM

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Sebanyak 74 kes gagal meletakkan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga, melibatkan nilai kompaun RM8,600 dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata kesalahan itu dikesan menerusi 2,748 pemeriksaan yang dijalankan terhadap premis runcit, borong dan pengeluar di seluruh negara bermula 23 hingga 27 Dis lepas.

"Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 berjalan dengan baik dan lancar.

“Kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 … tiada kes melibatkan penjualan melebihi harga yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim itu. 

Beliau berkata KPDN merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan semua peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP Krismas 2024.

Pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 selama lima hari yang dijalankan dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan, merupakan langkah kerajaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika sepanjang sambutan Krismas.

Sebanyak 14 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimum telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2024. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan