KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah dua perkhidmatan Elektrik Train Service (ETS) bagi perjalanan pergi dan balik antara KL Sentral dan Padang Besar sempena Tahun Baharu Cina.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiket untuk tren tambahan ini akan dijual mulai esok, 3 Jan, pada pukul 10 pagi, bagi perjalanan yang bermula 17 Jan hingga 16 Feb.
“Tren tambahan ini akan beroperasi selama 19 hari dan menawarkan 630 tempat duduk setiap hari termasuk kemudahan kelas perniagaan dengan jumlah keseluruhan 11,970 tempat duduk.
“Tren akan berlepas dari KL Sentral pada 5.00 petang dan tiba di Padang Besar pada pukul 10.20 malam, manakala dari Padang Besar, tren berlepas pada pukul 11.05 pagi dan tiba di KL Sentral pada 4.30 petang,” katanya.
KTMB memaklumkan inisiatif itu sebagai memenuhi permintaan penumpang yang tinggi serta membantu mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku setiap kali musim perayaan.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai serta menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB untuk pertanyaan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial