GEORGE TOWN, 4 Jan (Bernama) -- Pesta Pulau Pinang, acara tahunan penting yang menjadi ikonik bagi negeri ini kembali meriah dengan pelbagai tarikan menarik kepada pengunjung termasuk permainan Euro Fun Park, persembahan hiburan dan gerai makanan, selain reruai agensi kerajaan.
Sejak diperkenalkan pada 1966, Pesta Pulau Pinang terus menempa populariti dan mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada kalangan rakyat di negeri ini, tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negara yang menjadikan pesta itu sebagai antara tempat wajib dikunjungi setiap kali ia dianjurkan.
Memasuki tahun ke-58, berkemungkinan ia kali terakhir Pesta Pulau Pinang diadakan di tapak pesta Sungai Nibong berikutan sebahagian kawasan itu dikatakan terlibat dengan projek pembangunan jajaran bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, namun ia belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Pengurus Kanan Pesta Pulau Pinang Refnaldy Azuardi berkata berbanding tahun sebelumnya, pesta kali ini diadakan lebih lama, iaitu selama 44 hari bermula 21 Dis lepas hingga 2 Feb depan.
Beliau berkata penganjuran itu mengambil peluang cuti penggal dan akhir tahun persekolahan untuk membolehkan orang ramai terutama mereka yang bekeluarga membawa anak-anak untuk berhibur dan bersantai.
“Tahun ini juga kita cuba cari kelainan dengan menumpukan terhadap landskap yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni, hasil cetusan idea daripada pasukan jawatankuasa dan dibantu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Kita cuba hasilkan dan buat penambahan, sesuai untuk lokasi bergambar atau OOTD (Outfit Of The Day).
“Selain itu, kita juga ada Pasar Saloma, iaitu lot yang disewakan khas kepada penganjur berkonsepkan klasik. Kita ikut trend festival makanan kini dengan membawakan makanan digemari ramai, ada lebih 60 peniaga yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan mereka juga ada aktiviti tersendiri di situ,” katanya ketika ditemui Bernama di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini malam tadi.
Refnaldy berkata mereka menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung tahun ini dan setakat 2 Jan lepas kehadiran yang dicatatkan sudah mencecah 130,000 orang.
Tidak lengkap pesta tanpa hiburan dan kali ini Refnaldy berkata acara konsert diadakan setiap hari, menampilkan barisan artis terkenal antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Zamani, Black Hanifah, Tomok, Haqiem Rusli, Floor 88, Kugiran Masdo, XPDC, serta kumpulan pelawak Senario, di samping artis tempatan yang diadakan setiap hari dengan bayaran hanya RM5.
Beliau berkata aktiviti lain yang diadakan sepanjang pesta berlangsung antaranya termasuklah Battle of the Bands, pameran kucing, silat, e-sukan, pameran badan beruniform serta zoo mini yang menampilkan hampir 70 spesies haiwan.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui Nor Awanis Yartar, 35, dari Bandar Baharu, Kedah berkata Pesta Pulau Pinang ternyata mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak kerana sering mengunjungi acara itu sejak berusia 12 tahun.
"Kini saya bawa suami dan tiga anak, bezanya sekarang suasana lebih teratur, banyak maklumat yang kita dapat dan menikmati hiburan serta permainan," katanya.
Bagi peniaga pula, selain sebagai lubuk rezeki, Pesta Pulau Pinang turut menjadi platform untuk memperkenalkan produk kerana pengunjung yang datang bukan sahaja orang tempatan, malah juga dari luar Pulau Pinang.
Pemilik jenama pakaian Renda Closet Aznida Daud Merican berkata tahun ini merupakan kali pertama dia menyertai Pesta Pulau Pinang dan sambutan diterima setakat ini amat menggalakkan.
“Alhamdulillah setakat hari ini, jualan memberangsangkan dan kita juga ada buat jualan penghabisan stok dengan tawaran diskaun hingga 80 peratus. Minggu depan kita akan bawa masuk stok baju raya 2025,” katanya.
Dibuka dari 6 petang hingga 11 malam pada hari bekerja dan 5.30 petang hingga 12 tengah malam Sabtu dan Ahad, Pesta Pulau Pinang 2024/2025 sedia menanti kunjungan orang ramai dengan bayaran masuk dikenakan ialah RM5 bagi 12 tahun ke atas manakala kanak-kanak percuma.
Majlis perasmian dijangka disempurnakan Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 7 Jan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial