AM

Subsidi Diesel Untuk Feri, Bot Turut Melegakan Pengguna

04/01/2025 04:53 PM

ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) -- Keputusan kerajaan memberikan subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan Roll On Roll Off (RORO) di tujuh pulau utama berkuat kuasa 1 Jan turut melegakan para pengguna yang kerap menggunakan pengangkutan laut berkenaan.

Seorang guru Mohd Hilmi Mahmud, 39, berkata pemberian subsidi itu sekurang-kurangnya dapat mengelakkan para pengusaha feri dan bot daripada menaikkan harga tiket secara mendadak.

“Kenaikan harga tiket akan membebankan saya dan pengguna feri lain. Ia sangat membebankan terutama bagi golongan seperti saya yang berulang-alik dari Langkawi ke Perlis setiap minggu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mohd Hilmi yang mengajar di sebuah sekolah di pulau bebas cukai itu berkata beliau amat bersyukur kerana kerajaan telah mengambil tindakan yang sangat wajar, sekali gus menunjukkan bahawa suara rakyat bawahan turut didengari.

“Selain itu, jika tambang feri dan bot naik, kemasukan pelancong juga akan berkurangan terutamanya pelancong tempatan yang akan berfikir beberapa kali jika ingin ke Langkawi kerana kos meningkat,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Faiz Ahmad Salmi, 37, yang juga seorang guru di Langkawi berkata pemberian subsidi itu satu langkah tepat dalam menstabilkan harga perkhidmatan feri, yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada pelbagai sektor seperti pelancongan dan pendidikan secara amnya.

“Subsidi ini bukan sahaja membantu merancakkan sektor pelancongan di Langkawi, tetapi juga memudahkan pelajar dan guru untuk berulang-alik antara Langkawi dan tanah besar tanpa beban kewangan yang tinggi.

“Namun, penting agar subsidi ini dimanfaatkan secara optimum oleh operator feri. Mereka perlu beri perhatian untuk menambah kekerapan perjalanan, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan fasiliti seperti tempat duduk yang lebih selesa, kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Muhamad Faiz berkata langkah itu bukan sahaja akan meningkatkan kualiti pengalaman pengguna, tetapi turut menyokong keberkesanan perkhidmatan feri sebagai nadi pengangkutan utama bagi masyarakat dan pelancong.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pemberian subsidi diesel itu, dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata harga siling diesel bersubsidi kepada pengusaha terbabit ditetapkan pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi 50 sen seliter.

Selain Pulau Langkawi, enam pulau lain adalah Labuan, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang serta Pulau Pinang.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan