JENAYAH & MAHKAMAH

K9 Bantu Kesan Remaja Lelaki Dikhuatiri Lemas

05/01/2025 03:36 PM

KUANTAN, 5 Jan (Bernama) -- Khidmat dua anjing pengesan (K9) digunakan hari ini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang ketika memancing di rumah rakit Jalan Kampung Pedah, Kampung Jerantut Feri, Jerantut semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata dua anjing pengesan itu dibawa untuk mengesan mangsa Azri Fahmi, 14, dengan melakukan kaedah pencarian di kawasan tepi sungai. 

Beliau berkata operasi SAR yang memasuki hari kedua itu disertai 37 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi seperti JBPM, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Operasi SAR yang bermula pada 6.45 pagi ini diteruskan dengan kaedah pencarian diperluaskan ke kawasan sepanjang 10 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat jatuh.

“Kaedah pencarian adalah di tebing sungai dengan khidmat bantuan anggota dan anjing pengesan K9 manakala pasukan PPDA melakukan selaman di sekitar lokasi mangsa jatuh serta rondaan dengan bot di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata operasi pencarian itu masih berjalan dan turut mendapat kerjasama penduduk kampung. 

Semalam, remaja lelaki itu bersama dua rakannya sedang memancing di rumah rakit tersebut sebelum terjatuh dan dipercayai hanyut dibawa arus Sungai Pahang. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan