AM

Maxis Meterai MoU Dengan UMT, UTHM Perluas Kerjasama Industri-Akademik

13/01/2025 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Maxis terus membentuk bakat muda masa depan dan memacu pemerkasaan belia menerusi kerjasama dengan universiti, termasuk terbaharu dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang secara keseluruhannya melibatkan lebih 30,000 pelajar.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama berkenaan dimeterai melalui dua majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan baru-baru ini di Menara Maxis di sini dengan syarikat telekomunikasi itu diwakili Ketua Pegawai Transformasi dan Sumber Manusianya Patrick Er.

UMT pula diwakili Naib Canselornya Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim manakala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM Prof Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq mewakili universiti itu.

“Bertujuan memajukan pembelajaran, kesediaan kerjaya dan kemahiran digital di samping mengukuhkan hubungan industri-akademik, bidang utama kerjasama berkenaan meliputi perkongsian pengetahuan oleh pemimpin dan pakar Maxis untuk memberikan pandangan dunia sebenar,” menurut kenyataan itu.

 Kerjasama terbabit turut menyediakan peluang kerjaya melalui latihan amali di Maxis dan Program Duta Kampus Hotlink, pakej khas universiti untuk pelajar dan petugas serta e-sukan di kampus dan program yang lain untuk menggalakkan pembangunan pelajar.

Er dalam kenyataan sama berkata sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, Maxis berharap dapat menggabungkan kepakaran industri dengan kecemerlangan akademik rakan kongsi universiti mereka.

“Penglibatan berterusan kami dengan universiti merupakan komitmen kami untuk menyediakan bakat muda di Malaysia dengan peluang yang berdaya saing untuk pertumbuhan dan pembangunan profesional,” katanya.

Mohd Zamri pula berkata kerjasama UMT dengan Maxis akan mewujudkan peluang berharga bagi kedua-dua pihak untuk memanfaatkan teknologi termaju, kepakaran dan rangkaian profesional.

“Saya amat percaya kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan pencapaian akademik pelajar UMT tetapi juga memberikan pendedahan berharga kepada dunia kerja sebenar dan peluang kerjaya yang berpotensi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rasid berkata sebagai universiti teknikal, kerjasama industri-akademik dengan Maxis akan memainkan peranan penting dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) universiti itu.

“Kerjasama ini akan membantu pelajar kami memperoleh kemahiran yang relevan, pendedahan industri dan kelebihan daya saing dalam landskap digital yang sentiasa berkembang,” katanya.

Maxis telah menyokong beberapa program UMT seperti Program Jalinan Mesra Student Baru, UMT Liga Bola Hotlink Piala Timbalan Naib Canselor HEPA, ESG Global Young Leaders Summit dan Anugerah Ikonsiswa. Begitu juga di UTHM, Maxis telah menyokong Festival Konvokesyen UTHM dan inisiatif Kad Prihatin Siswa.   

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan