DUNIA

Orde Baharu Dunia Sedang Dibentuk - Presiden Azerbaijan

14/01/2025 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkata orde  baharu dunia sedang dibentuk dan dunia kini berada pada permulaan proses itu.

Menurut Kedutaan Azerbaijan di Malaysia, Presiden dalam temu bual baru-baru ini dengan saluran TV tempatan menegaskan bahawa sistem yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua sudah kehilangan potensinya, seperti yang jelas kelihatan melalui proses, konflik, peperangan yang berterusan dan peristiwa-peristiwa lain di pelbagai bahagian dunia.

Mengenai potensi impak orde ini terhadap kawasan Caucasus Selatan dan keadaan yang Azerbaijan sedang melakukan persediaan menghadapinya, Aliyev berkata bahawa Azerbaijan berada di kawasan Caucasus Selatan, dan sebagai negara peneraju di kawasan itu, ia sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar. 

“Oleh itu, kami melihat orde baharu ini sebagai sebuah aturan yang adil. Jika ia boleh dirumuskan dalam satu perkataan, ia adalah keadilan, yang sememangnya selaras dengan dasar yang diperjuangkan Azerbaijan selama bertahun-tahun.

“Inilah cara kami melihatnya sekarang - kedaulatan, kemerdekaan, tiada campur tangan dalam urusan sesama negara, dan tidak memburukkan situasi dalaman negara atas pelbagai dalih. Semua ini, sebenarnya, adalah garis panduan dasar luar kami,” kata presiden itu.

Presiden turut menekankan bahawa jika setiap negara memberi tumpuan kepada urusan dalaman mereka, tidak akan ada peperangan, konflik, atau konfrontasi. Beliau menambah bahawa amalan kolonialisme yang jijik harus dihentikan.

“Saya percaya bahawa isu ini juga akan dipertimbangkan dalam orde baharu dunia . Namun, saya lebih yakin bahawa kedaulatan negara-negara mesti dilindungi serta tidak boleh dicabuli, dan tiada siapa yang harus campur tangan dalam urusan negara lain. Kami telah mencapai ini. Tiada siapa yang boleh campur tangan dalam urusan kami,” kata Aliyev.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan