AM

Uzma Bhd Berjaya Lancar Satelit Pemerhatian Bumi Resolusi Imej Tinggi

15/01/2025 09:40 AM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Uzma Berhad mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melancarkan satelit pemerhatian bumi pertama miliknya UZMA SAT-1 pada 3.09 pagi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX. 

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI Mohammad Fadhli Jamaluddin berkata UZMA SAT-1 yang kini berada di orbit rendah bumi pada ketinggian sekitar 500 kilometer adalah satelit yang dapat menghasilkan imej beresolusi tinggi dengan kemampuan resolusi ruang 50 hingga 70 sentimeter yang mampu mengesan objek kecil seperti kenderaan dengan jelas.

“Satelit itu sebahagian daripada 25 satelit milik rakan teknologi Uzma, Satellogic, membolehkan pemerhatian dilakukan hingga lima kali sehari di lokasi yang sama,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran UZMA SAT-1 di Menara Uzma di sini hari ini. 

Beliau berkata satelit itu dilengkapi kamera berteknologi tinggi dengan sensor multi-spectral band, termasuk sensor RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah dekat yang mampu memberikan data terperinci untuk pelbagai kegunaan. 

“Sensor RGB memberikan imej yang boleh dilihat dengan mata kasar manakala sensor inframerah dapat mengesan elemen seperti klorofil tumbuhan dan kelembapan tanah yang tidak dapat dilihat secara langsung,” katanya. 

Fadhli berkata UZMA SAT-1 direka dengan keupayaan untuk menyokong pelbagai sektor di Malaysia termasuk pertanian, perladangan, pengurusan bencana, dan pemantauan alam sekitar. 

“Bagi industri pertanian padi, satelit ini mampu memantau kesuburan tanaman, kita dapat lihat tanaman  segar atau berpenyakit dan sebagainya. Teknologi ini juga membolehkan petani meramal hasil tanaman seperti padi dengan lebih tepat,” katanya. 

Beliau berkata satelit itu juga turut digunakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membantu syarikat-syarikat perladangan sawit memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan (Sustainability Palm Oil Certification) yang berpotensi meningkatkan premium penjualan sawit.

Selain sektor pertanian dan perladangan, beliau berkata satelit itu juga dapat menyediakan gambaran jelas mengenai kawasan terjejas akibat banjir seperti membantu pihak berkuasa mengenal pasti laluan yang tidak boleh dilalui dan menentukan lokasi sesuai untuk pusat pemindahan banjir.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Ahmad Sabirin Arshad percaya inisiatif dilaksanakan Uzma Bhd mampu menyumbang kepada ekonomi negara mahupun dunia.  

“Daripada syarikat minyak dan gas ‘migrating’ kepada teknologi angkasa, saya yakin pelancaran satelit ini akan menjadi cetusan baharu kepada ekonomi Malaysia, terutamanya pada tahun ini negara kita menjadi Pengerusi ASEAN dan sebagai peneraju dalam teknologi angkasa ini, ia dapat menyumbang kepada diplomasi teknologi dengan menawarkan kepada negara ASEAN,” katanya. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) Rushdi Abdul Rahim berkata pihaknya amat berbangga melihat syarikat swasta seperti Uzma Bhd yang menceburi bidang pelaburan dalam bentuk pembangunan teknologi. 

“Kita (MIGHT) sentiasa mengalu-alukan kerjasama awam swasta ini, pelaburan dalam bentuk teknologi ini mampu meningkatkan kedaulatan teknologi negara. Oleh itu kita amat menggalakkan lebih banyak syarikat seperti Uzma mengambil tanggungjawab untuk negara melalui pelaburan yang dilakukan Uzma ,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan