JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Serbu Penempatan Pekerja Asing, Tahan 76 Pendatang Tanpa Izin

18/01/2025 11:41 AM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 76 pendatang tanpa izin dalam serbuan di penempatan pekerja asing di Shah Alam dan Kajang, dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu terdiri daripada rakyat Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India.

"Dalam operasi ini, sebanyak 374 warganegara asing telah diperiksa dan 76 pendatang tanpa izin yang ditahan berumur di antara 20 hingga 55 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata kesemua warga asing itu ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

Beliau berkata operasi susulan aduan awam itu melibatkan 113 pegawai daripada pelbagai bahagian di JIM dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan