AM

JKOM Akan Lebih Tegas Dan Proaktif Tangani Lambakan Berita Palsu

18/01/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) akan bersikap lebih tegas dan proaktif dalam menangani lambakan berita palsu yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.

Ketua Pengarah JKOM Datuk Ismail Yusop berkata langkah konstruktif akan diambil untuk memastikan fakta yang benar sampai kepada rakyat sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap kerajaan.   

"Cabaran terbesar yang kita hadapi hari ini adalah lambakan fitnah dan berita palsu yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI serta menidakkan segala usaha murni yang telah dan sedang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

"Berita palsu tidak boleh dijadikan norma dalam masyarakat kita. Ia bukan sahaja menjejaskan keharmonian, malah boleh melumpuhkan usaha kerajaan untuk memacu negara ke arah kemakmuran bersama," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Ismail berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dan sedang melakukan perkara yang tepat dalam aspek tadbir urus, ekonomi rakyat dan keadilan sosial. 

"Banyak inisiatif yang telah diperkenalkan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan ini perlu diangkat serta disampaikan secara lebih jelas.

"Justeru, rakyat mesti dilihat bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan usaha yang dilakukan ini dapat berjalan dengan lancar," katanya. 

Beliau berkata dalam usaha menyampaikan agenda kerajaan, JKOM tidak boleh bergerak sendirian sebaliknya memerlukan kerjasama erat dengan agensi kerajaan yang lain untuk memastikan rakyat memahami dan merasai impak setiap inisiatif yang dilaksanakan.

"Sebagai agensi sosiopolitik dalam komunikasi kerajaan, JKOM bertekad untuk menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dan rakyat. Bersama-sama kita bina masa depan yang lebih cerah, makmur dan harmoni untuk semua," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan