KUALA NERUS, 19 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedia membantu golongan nelayan yang kediaman mereka mengalami kerosakan akibat hakisan pantai di seluruh negara, termasuk di Terengganu.
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta bagi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) untuk membaik pulih atau membina baharu rumah nelayan yang uzur atau mengalami kerosakan.
“Kita akan melihat mana-mana rumah yang terlibat atau mengalami kerosakan (termasuk akibat hakisan pantai), kita akan berikan peruntukan kepada yang layak.
“Sama ada rumah nelayan itu rosak akibat hakisan pantai ataupun tidak, ia tidak menjadi persoalan tetapi kita akan meneliti dan menilai terlebih dahulu nilai kerosakan serta kelayakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-Petronas di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat keperluan melaksanakan beberapa projek mitigasi dalam membendung masalah hakisan pantai yang kian meruncing.
Dalam pada itu, beliau berharap pihak kerajaan negeri memberi perhatian serius akan isu hakisan pantai berkenaan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk terutama komuniti nelayan di pesisir pantai.
Terdahulu, Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-Petronas pada hari ini menyaksikan seramai 100 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Nerus terdiri anak-anak nelayan menerima sumbangan barangan keperluan persekolahan dan wang tunai.
Muhammad Faiz berkata sumbangan sebagai persiapan menghadapi sesi baharu persekolahan pada Februari depan itu hasil kerjasama antara pihaknya dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial