DUNIA

Lawatan PM Anwar Ke Belgium Berpotensi Gerak Semula Rundingan FTA Malaysia-EU - Duta

19/01/2025 08:44 PM

Daripada D.Arul Rajoo

BRUSSELS, 19 Jan (Bernama) -- Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Belgium dijangka membawa perkhabaran positif berhubung usaha menghidupkan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang telah lama terhenti.

Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah (EU) Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata rundingan bagi FTA itu dilancarkan pada 2010 dan kemudiannya ditangguhkan selepas tujuh pusingan pada 2012.

Beliau berkata rundingan FTA itu terhenti berikutan ketidaksetujuan Malaysia berhubung beberapa isu seperti sawit, dasar pemerolehan, subsidi dan klausa kelestarian EU.

“Salah satu sebabnya adalah diskriminasi terhadap minyak sawit. Antara isunya adalah dakwaan pembakaran terbuka dan buruh paksa,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan Anwar ke sini.

Perdana Menteri, yang baru mengakhiri lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom, akan tiba di Brussels, yang dianggap sebagai ibu kota de facto EU, pada Ahad.

“Kita telah melakukan dengan baik dalam usaha menyelesaikan beberapa isu yang menghalang rundingan FTA, antaranya pengenalan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.

Mohd Khalid Abbasi berkata import minyak sawit EU dari Malaysia mencatatkan aliran meningkat baru-baru ini.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), EU mengimport sejumlah 646,819 tan metrik minyak sawit dari Malaysia dalam tempoh separuh pertama 2024, peningkatan sebanyak 22 berbanding berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya iaitu sebanyak 530,051 tan metrik.

Tambahan pula, katanya, bukan mudah untuk berunding dengan 27 negara dalam perkumpulan Eropah, tetapi keadaan kini semakin berubah ke arah positif.

Anwar memberikan nafas baharu kepada rundingan MEUFTA selepas mengetuai misi perdagangan dan pelaburan yang berjaya ke Jerman pada Mac tahun lalu, apabila beliau berkata Malaysia akhirnya bersetuju untuk menghidupkan semula rundingan mengenai perjanjian perdagangan itu bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan integrasi serantau.

Semasa lawatan sulung beliau ke sini, Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada Isnin, Perdana Menteri dijadual bertemu Perdana Menteri Kerajaan Sementara Belgium Alexander De Croo untuk membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium dan mempergiatkan usaha kerjasama serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Anwar juga akan bertemu Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-EU dan kerjasama serantau.

EU adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia (selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat).

Dari tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dua hala Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, berjumlah RM200 bilion (US$43.71 bilion).

Sehingga kini, sebanyak 1,345 projek pembuatan dengan penyertaan EU telah dilaksanakan di Malaysia, menarik pelaburan berjumlah RM239.9 bilion (US$59.80 bilion) dan mencipta 155,933 peluang pekerjaan.

- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan