AM

Eksesais LA PEROUSE 2025 Perkukuh Kerjasama Maritim TLDM, Tentera Laut Perancis

20/01/2025 02:44 PM

IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan eksesais  bersama Tentera Laut Perancis (TLP) sempena pelayaran FS FORBIN untuk Eksesais LA PEROUSE 2025  sekali gus memperkukuh kerjasama maritim antara kedua-dua negara. 

Bahagaian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan eksesais berkonsep Field Training Exercise (FTX) itu mengambil peluang kehadiran kapal TLP ke perairan Selat Melaka untuk mempromosikan kerjasama Indo-Pasifik bersama negara-negara ASEAN.

Kenyataan itu memaklumkan eksesais itu juga memberi fokus kepada keselamatan maritim di rantau berkenaan.

"Eksesais ini bertujuan meningkatkan keterlibatan maritim antara TLDM dan TLP di laut, menangani cabaran maritim bersama demi keselamatan maritim serantau serta memperkukuh hubungan kerjasama," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, eksesais berkenaan dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan yang bermula dari 13 hingga 15 Jan 2025 di Pulau Pinang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.

Fasa kedua pula ialah Fasa Laut yang bermula 16 hingga 18 Jan di perairan Selat Melaka, melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara serta Photo Exercise (PHOTEX).

Aset-aset yang terlibat  untuk TLDM ialah KD Lekir, KD Gagah Samudera, Fast Combat Boat TLDM dan dua pesawat pejuang F/A 18D dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala bagi TLP pula FS Forbin dan pesawat AS565 Panther.

"Latihan di laut memberi tumpuan kepada aspek peperangan permukaan dan udara bertujuan memperkasakan kemampuan teknikal dan operasi serta meningkatkan kesalingoperasian.

"Sepanjang fasa laut, pelbagai siri latihan seperti Simulated Local Air Defense Exercise (SIMADEX), Air Defense Exercise (ADEX), Surface Firing Exercise (SURFEX), Advance Interdiction and Boarding Exercise (BOARDEX) serta PHOTEX telah dilaksanakan," menurut kenyataan itu. 

Latihan berkenaan bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan taktikal kedua-dua negara tetapi juga memperkukuh kesiapsiagaan aset dan kompetensi anggota TLDM dalam menghadapi senario maritim yang kompleks.

Eksesais LA PEROUSE 2025 ialah kerjasama bilateral pertama melibatkan aset TLDM dan TLP selepas kali terakhir dijalankan pada 2021 melalui Passage Exercise (PASSEX) di Selat Melaka.

"Selain itu, pelaksanaan Eksesais LA PEROUSE 2025 di Pulau Pinang juga menjadi platform persediaan penting bagi TLDM yang dijadual menganjurkan ‘ASEAN Navy Chief’s Meeting (ANCM)’, ‘ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX)’ dan ‘ASEAN Fleet Review’ di negeri ini pada Ogos," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan