KUCHING, 20 Jan (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan pertubuhan Melayu di Sarawak mewujudkan dana amanah bagi memelihara dan menguruskan hartanah milik orang Melayu di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan mewujudkan dana amanah, badan ini akan dapat membeli hartanah milik orang Melayu mengikut harga pasaran dan menguruskan hartanah berkenaan tanpa menukar statusnya.
“Mengambil contoh, jika pemilik meninggal dunia dan status tanah itu ada nilai komersial, ia akan dijual kepada sesiapa sahaja dan orang Melayu selalunya tidak mempunyai (sumber) kewangan untuk membeli, akhirnya terlepas dari tangan orang Melayu.
“Penyelesaiannya, kita hendaklah memantapkan masyarakat Melayu dalam satu dana amanah. Kalau harta itu dijual disebabkan faraid, badan amanah ini boleh membeli dan ia akan diuruskan oleh masyarakat Melayu itu sendiri dengan membeli mengikut harga pasaran,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Adat Resam Masyarakat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam di sini hari ini, beliau berkata usaha ini mampu mengelakkan status hartanah berkenaan daripada ‘terhakis’, terutamanya jika hartanah itu terletak di kawasan orang Melayu.
“Kita juga boleh bekerjasama dengan masyarakat bukan Melayu dengan syarat orang Melayu sendiri juga mengambil bahagian sebagai rakan kongsi ekuiti, tidak jual seratus peratus. Untuk mendapatkan ekuiti itu, orang Melayu mesti ada kekuatan kewangan.
“Kalau tidak, jadi macam di kawasan Kampung Wireless di Miri, yang tinggal hanya masjid Miri yang lama, begitu juga dengan Kampung Nyabor di Sibu. Sebab itu, orang Melayu mesti bersama-sama dari segi kekuatan kewangan melabur menerusi badan amanah, dengan ini barulah kita dapat mempertahankan adat kampung itu, saya bersyukur kita sudah ada formula di Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial