KEPALA BATAS, 23 Jan (Bernama) -- Sebanyak 169,440 kilogram (kg) baja pelbagai jenis tanpa lesen bernilai RM508,470 dirampas dan seorang lelaki warga emas turut ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Permatang Saga, Pinang Tunggal di sini semalam.
Operasi pada 3 petang itu dijalankan pasukan Cawangan Risik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum menyerahkan kes berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.
Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata pihaknya menjalankan risikan sejak seminggu lepas sebelum sepasukan polis cawangan Risik Briged Utara PGA menyerbu gudang itu.
"Kita syak gudang itu memproses baja yang tidak berlesen atau pun tiada permit dan hasil pemeriksaan mendapati ada alatan memproses serta pelbagai bahan dipercayai untuk menghasilkan baja.
"Seorang lelaki warga emas yang juga pemilik syarikat itu turut ditahan," katanya kepada pemberita di di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati pemilik premis yang ditahan dipercayai menjalankan kegiatan penjualan baja secara borong tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata lelaki berkenaan mengaku menggunakan gudang itu untuk menjalankan kegiatan tersebut sejak lima tahun lepas.
"Hasil rampasan melibatkan pelbagai jenis baja termasuk baja jumbo seberat 700 kg sebanyak 231 unit, 60 beg baja sebatian 91 beg, baja sebatian NPK (nitrogen, fosforus, kalium) dengan jumlah berat keseluruhan 169,440 kg bernilai RM508,470," katanya.
Jegan berkata tindakan penyitaan juga dilakukan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
"Baja yang dirampas itu terdiri barang kawalan dan berdasarkan siasatan ia untuk dijual kepada petani di sekitar negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial