AM

JAKIM Akan Panggil Harith Iskander Berhubung Isu Jenaka 'Ham' 

23/01/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pelawak dan pelakon Harith Iskander berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu 'ham' yang didakwa menghina agama Islam.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata jabatan itu juga telah membuat laporan polis. 

"Selain itu, JAKIM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata JAKIM tidak sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan mempersendakan ajaran Islam dan menyinggung sensitiviti umat Islam.

Beliau turut menyeru semua pihak mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat, selain meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa dan bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran itu semasa kontroversi sandwic 'ham and cheese' yang dikatakan diragui status halalnya baru-baru ini. 

Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan 'ham' dengan nama Nabi Muhammad SAW.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan