PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan arahan pertukaran petugas kaunter JPJ yang bertugas melebihi lima tahun, melibatkan 1,907 petugas di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ketetapan itu, selaras arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengenai dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam yang bertugas di kaunter yang melebihi lima tahun.
“JPJ juga sedang memperincikan senarai nama penjawat awam yang bertugas di kaunter JPJ untuk dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dasar penggiliran kerja itu diyakini akan mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan, melalui kaunter-kaunter perkhidmatan JPJ.
“Selain itu, usaha ini juga sebagai antara elemen penekanan terhadap aspek integriti petugas kaunter JPJ, selain peningkatan kemahiran dan pengalaman penjawat awam terutamanya warga kerja JPJ dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Aedy Fadly berkata JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap, bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat, selaras dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Shamsul Azri pada Majlis Amanat KSN Tahun 2025, mengarahkan JPA untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.
Ini kerana tempoh lima tahun bertugas di kaunter dilihat terlalu lama dan tidak bersesuaian, menjadikan beliau mahu pelaksanaan pusingan kerja dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata pelaksanaan pusingan kerja membabitkan penjawat awam di kaunter perkhidmatan mampu menangani isu integriti, menambah baik mutu penyampaian dan mewujudkan iklim kerja yang kondusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial