AM

Persetujuan Bersama Kpm, Jpn Sabah Di Bawah Ma63 Beri Impak Positif

25/01/2025 03:27 PM

KOTA KINABALU, 25 Jan (Bernama) -- Persetujuan bersama yang telah dicapai antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mampu memberi impak positif kepada pendidikan di negeri ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata persetujuan itu bukan hanya akan memberi manfaat dalam konteks pentadbiran, tetapi juga memberi peluang kepada JPN Sabah yang lebih mahir menerajui isu-isu pendidikan pada peringkat tempatan.

"Memasukkan citra Sabah antara perubahan penting mengukuhkan interaksi dan MADANInya pendidikan, juga soal infrastruktur dan peruntukkan bencana alam antara perkara telah dicapai dalam persetujuan MA63," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kepimpinan Negeri Sabah di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) Azman Adnan serta Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Pendidikan negeri.

Fadhlina berkata memasukkan citra Sabah itu akan dapat memberi semangat kepada para pelajar dan pendidik agar dapat memastikan isu-isu pendidikan dapat diatasi dengan segera.

"Saya harap dengan komitmen padu pada peringkat Persekutuan dan negeri serta kekuatan pendidikan khususnya kepimpinan peringkat negeri Sabah akan dapat mengangkat kualiti pendidikan di negeri ini," katanya.

Pada 14 Nov tahun lepas, KPM menerusi kenyataan media memaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah antara perkara yang telah dipersetujui ialah memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara. 

KPM juga bersetuju dengan tuntutan berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan yang diberikan kepada JPN Sabah.

Selain itu, pengambilan guru baharu yang dipecahkan mengikut tiga wilayah, iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan JPN ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan