AM

Anwar Jamin Siasatan Rapi, Telus Tentang Insiden Tembakan Di Tanjung Rhu

31/01/2025 07:07 PM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan kerajaan akan menjalankan siasatan yang rapi dan telus mengenai insiden tembakan membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada 24 Jan.

Beliau juga meminta semua pihak tidak sewenang-wenangnya menjadi hakim berkenaan insiden tersebut, di samping menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang tindak balas ekoran demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta.

“Saya ikuti kenyataan Presiden (Indonesia) Prabowo Subianto yang tentunya prihatin, tetapi (beliau) minta supaya ada siasatan yang rapi. Indonesia adalah negara sahabat, jadi saya bagi jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak untuk melindungi sesiapa.

“Dan pagi tadi saya telah minta supaya laporan siasatan awal disampaikan ke Kedutaan Indonesia. Ini hanya berlaku kerana negara ini sahabat baik dan siasatan ini biar lengkap sepenuhnya, akan dibuat, diteliti oleh rakan-rakan kita di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Teh Rakyat Bersama YAB Perdana Menteri Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Kanthan Baru di sini hari ini.

Anwar berkata beliau tidak mahu insiden sedemikian mengganggu hubungan baik antara kedua-dua negara, namun harus akur dengan undang-undang negara masing-masing.

“Jadi oleh yang demikian, yang saya harap kedua-dua pihak sepertimana suara Presiden Indonesia dan saya ikut jalur hukum, jangan ikut umpamanya kemarahan melulu kerana akan menjejaskan hubungan baik di antara (negara).

“Saya tidak mahu melindungi sesiapa kalau tidak ikut aturan dan hukum. Saya telah berbincang sendiri dengan Ketua Polis Negara, sampaikan juga kepada Menteri Dalam Negeri supaya hal ini diteliti, supaya hubungan kita dengan Indonesia kekal baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau mengambil kesempatan pada program hari ini untuk memberi penjelasan kepada pihak media, supaya insiden itu tidak disalah lapor.

“Ada sedikit sebanyak keterlanjuran kedutaan kita di Jakarta itu diganggu dan dicat dengan telur dan sebagainya dan saya tahu ini ada kumpulan kecil, tetapi saya harap di Malaysia jangan ada tindak balas.

“Biar kita ikut hukum dan kita faham kadang-kadang kemarahan berdasarkan laporan-laporan yang tidak bertanggungjawab yang menghangatkan suasana menghukum sebelum ada fakta, menghukum sebelum selesai siasatan. Jadi sebaiknya kita tunggu (laporan siasatan),” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan