AM

Mangsa Banjir Di Sarawak Terus Berkurang

03/02/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Sebanyak 9,312 mangsa banjir di Sarawak masih berlindung di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang ini, berkurang berbanding 10,068 yang direkodkan pagi tadi. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan 4,744 orang adalah di Bintulu manakala 1,542 di Serian dengan kedua-dua bahagian itu mencatatkan penurunan mangsa setakat petang ini.

Bahagian Sibu turut merekodkan penurunan mangsa dengan 850 orang dan Samarahan 534 orang.

“Bagaimanapun, jumlah mangsa di Miri bertambah kepada 1,466 orang berbanding 1,391 orang pagi tadi dan di Mukah juga meningkat sedikit kepada 176 orang daripada 142 orang,” menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, lima PPS masing-masing satu di Miri, Samarahan, Sibu dan dua di Serian telah ditutup.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan pada 12.30 tengah hari tadi memaklumkan, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, (Sri Aman) Betong, Sarikei, Sibu (Sibu) dan Mukah bermula esok hingga Rabu.

Di SABAH, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 208 orang daripada 57 keluarga setakat 4 petang berbanding 196 orang daripada 55 keluarga pagi tadi.

“Sebanyak 155 mangsa daripada 41 keluarga ditempatkan di dua PPS di Tongod, manakala di Kinabatangan 53 mangsa daripada 16 keluarga berlindung di sebuah PPS,” menurut sekretariat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan