AM

UMNO Selangor Bantu Nazri Dan Azlina - Ahmad Zahid

05/02/2025 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Ketabahan sepasang suami isteri Mohd Nazri Mohd Zain dan Norazlina Zakaria, yang sedang bergelut dengan pelbagai dugaan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan komitmen untuk membantu mereka. 

Presiden UMNO menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata UMNO Selangor akan membantu Mohd Nazri, 40, dan Norazlina, 43, dalam beberapa keperluan utama termasuk menampung sewa rumah dan menyediakan kemudahan lebih selesa.

“Insya-Allah, usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

“Kisah pasangan Azlina dan Nazri bukan kisah biasa - ia adalah kisah perjuangan, kasih sayang dan pengorbanan tanpa batas. Mereka diuji bukan dengan satu, tetapi pelbagai dugaan yang menuntut kesabaran luar biasa,” katanya mengenai cerita luar biasa pasangan itu yang dilaporkan media baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zahid, Setiausaha Politiknya Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mewakili beliau, berserta kepimpinan UMNO Selangor telah menziarah pasangan itu.

“Azlina, seorang wanita cekal, menggalas tanggungjawab begitu besar - menjaga suami, Nazri, yang terlantar sakit sejak awal perkahwinan mereka, di samping menguruskan nenek berusia 92 tahun yang mengalami strok serta ibu saudara menghidap autisme.

“Namun, apa yang lebih mengagumkan saya, rumah mereka juga menjadi tempat transit bagi golongan OKU yang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh. Allahuakbar. Dalam kesempitan, mereka masih memberi. Dalam kesusahan, mereka masih peduli,” katanya. 

Menurut Ahmad Zahid, beliau akan berusaha mengemukakan rayuan kepada pihak berkaitan agar pasangan itu mendapat akses rawatan kesihatan yang lebih cepat dan menyeluruh.

“Mari bersama-sama doakan kesejahteraan Azlina dan Nazri, semoga mereka diberikan kekuatan dan rezeki yang melimpah ruah,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan