KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap perbuatan mencampurkan Beras Putih Tempatan (BPT) dengan Beras Putih Import (BPI).
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata Akta 522 dilihat agak longgar dan tidak cukup 'taring' kerana tidak ada satu peruntukan undang-undang di dalam akta itu yang menyatakan perbuatan berkenaan sebagai satu kesalahan jenayah.
“Seingat saya sampai hari ini tidak terdengar di mana-mana mahkamah pihak-pihak yang didakwa melakukan kesalahan mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import. Golongan tertentu mengambil untung kerana kelonggaran Akta Kawalan Padi dan Beras ini.
“Jadi saya mencadangkan Akta Kawalan Padi dan Beras ini dipinda dengan memasukkan satu seksyen yang menyatakan perbuatan mencampurkan beras tempatan dengan beras import itu adalah satu kesalahan jenayah dan masukkan satu seksyen hukumannya,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Hassan berkata difahamkan sebelum ini 93 kilang serta 130 pemborong dan peruncit yang didakwa mencampurkan BPT dengan BPI telah disiasat, namun sehingga kini tidak ada mana-mana pihak didakwa.
Sehubungan itu, beliau mahu Akta 522 dibawa ke Parlimen untuk dipinda bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan boleh mendapatkan bekalan beras pada harga yang berpatutan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pula meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memuktamadkan cadangan memperkenalkan BPT gred tunggal.
Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ketua Kluster Task Force Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata cadangan itu sebagai langkah untuk menghentikan masalah manipulasi harga dan membanteras kegiatan kartel beras.
“Beras dengan satu gred memberi peluang untuk menghentikan manipulasi harga dan tindakan pihak yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import. Saya telah bentang cadangan beras satu gred, satu harga dalam mesyuarat penuh NACCOL pada 23 Feb 2024, namun sehingga kini belum ada keputusan yang dimuktamadkan.
“Jadi saya harap kali ini kementerian perlu berani dan tegas dengan kawalan harga supaya boleh fokus untuk banteras kartel rantaian industri padi yang selama ini memangsakan pesawah,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mencadangkan untuk mengembalikan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara supaya pesawah mendapat hak yang lebih adil terhadap pasaran beras tempatan.
“Saya percaya penubuhan kembali Lembaga Padi dan Beras ini dapat menstabilkan harga siling dan lantai padi dan beras, sekali gus akan membela nasib pesawah,” katanya.
Mengulas mengenai Skim Baja Rintis, beliau mencadangkan kerajaan memberikan baja padi itu secara terus kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk diagih kepada pesawah supaya agihan lebih lancar dan bersasar.
Senada dengan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula menggesa kerajaan mengemukakan laporan mengenai kartel padi dan beras yang telah disiapkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“Saya menyeru laporan ini dibentang demi keadilan pesawah dan pengguna,” katanya.
Persidangan bersambung Rabu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial