GEORGE TOWN, 7 Feb (Bernama) -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi amal digesa mengurangkan saiz makanan percuma yang akan diedarkan semasa sambutan Thaipusam pada 11 Feb ini bagi mengelakkan berlaku pembaziran.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow berkata setiap tahun sekurang-kurangnya 50 tan sisa makanan dibuang ketika perayaan itu.
”Selain itu, CAP juga menyeru pengurusan kuil di seluruh negara yang menyambut Thaipusam supaya menghapuskan penggunaan plastik dan bekas makanan polistirena semasa menghidangkan makanan kepada penganut,” katanya di sini hari ini.
Subbarow berkata peningkatan sisa plastik menjadikan isu pencemaran lebih kritikal terutama jika semakin ramai orang menggunakan bahan itu.
Beliau berkata pencemaran plastik telah menjadi ancaman alam sekitar yang paling mendesak kepada manusia dan bumi.
“Ancaman daripada pengeluaran dan penggunaan plastik sekali guna amat serius dan membimbangkan kesihatan awam serta alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata alternatif kepada plastik sekali guna ialah peralatan yang boleh digunakan semula seperti perkakas yang boleh dibasuh, daun yang digunakan sebagai pinggan makan dan pembungkus makanan atau membawa bekas sendiri untuk mengisi makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial