AM

Anwar Beri Sumbangan Kepada Bapa Besarkan 16 Anak Di Kuantan

07/02/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada seorang bapa yang membesarkan 16 anak, dikenali sebagai Salim, di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang. 

Sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri Ziarah MADANI bagi mengurangkan beban keluarga itu.

“Perdana Menteri juga cukup prihatin dengan keperluan untuk membaik pulih rumah keluarga Encik Salim dan telah pun mengarahkan usaha membaik pulih rumah keluarga ini untuk dilaksanakan,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.

Ahmad Farhan berkata beliau sungguh hiba dengan ketabahan Salim bersama isteri membesarkan 16 anak yang lapan daripadanya tinggal bersama di rumah kecil itu, dengan empat daripada mereka masih bersekolah.

“Sempat saya berbual bersama, beliau menceritakan dengan pendapatan hanya RM1,000 sebulan, sukar untuk beliau membaiki keadaan rumah kecil ini, maka keperluan anak-anak harus menjadi keutamaannya.

“Kehidupan Encik Salim mungkin mencabar, tetapi beliau tidak pernah berhenti mengerah kudrat yang ada untuk terus menyara keluarga … saya mendoakan Encik Salim dan keluarga terus cekal menjalani hari-hari yang mendatang,” katanya.

Justeru, Ahmad Farhan berkata ikhtiar Ziarah MADANI akan terus diperkasakan kerana menyedari masih banyak lagi keluarga seperti Salim yang perlu dibantu dan disantuni bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan