AM

RMHC Malaysia Bawakan Kegembiraan Kepada Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik

10/02/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia) komited untuk mencipta lebih banyak detik kegembiraan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dengan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan pada musim perayaan.

Pengurus Besar RMHC Malaysia Nasri Nordin berkata sempena Tahun Baharu Cina kali ini, organisasi kebajikan itu menganjurkan acara berskala besar bagi membawa kegembiraan kepada 50 kanak-kanak daripada dua rumah anak yatim di McDonald’s Pantai Sentral Park, Bukit Kerinchi.

“Kami meraikan pelbagai perayaan di Malaysia. Sebelum ini, kami menyambut Krismas dan kini tiba giliran Tahun Baharu Cina. Seterusnya, kami akan meraikan Ramadan dan Syawal, diikuti Deepavali. Kami tidak pernah melupakan kanak-kanak di rumah anak yatim.

“Kami mahu mereka berasa dihargai dan diraikan, terutamanya semasa Tahun Baharu Cina. Kami tidak mahu mereka berasa tersisih, jadi kami membawa mereka ke sini hari ini, hampir 50 orang kanak-kanak dengan membawakan pelbagai hadiah dan ang pau untuk menjadikan sambutan ini lebih bermakna buat mereka,” katanya kepada media di sini hari ini.

Nasri berkata RMHC Malaysia kekal fokus terhadap kebajikan kanak-kanak, terutamanya dalam aspek kesihatan dan pendidikan.

“Hari ini, kami turut menyampaikan Back to School Packs, kerana sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Inilah masa yang sesuai untuk kami menyumbang kepada mereka yang memerlukan, terutamanya dalam menyediakan kelengkapan sekolah.

“Kami akan mengagihkan 10,000 beg sekolah di seluruh negara dan hari ini, 50 kanak-kanak daripada Yayasan Sunbeams Home dan Pusat Jagaan Rumah Charis, menerima keperluan sekolah ini bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi sesi persekolahan akan datang,” katanya.

Sementara itu, RMHC Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa para hadirin turut disajikan dengan persembahan tarian singa yang meriah serta persembahan istimewa oleh kanak-kanak yang hadir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan