PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Turkiye menyasar untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia dengan menumpukan kepada kerjasama teknologi dan pengeluaran bersama, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Beliau berkata hubungan Turkiye dengan Malaysia beralih kepada 'perkongsian strategik' pada 2014 dan seterusnya berkembang kepada 'perkongsian strategik yang komprehensif' pada 2022, mencerminkan hubungan yang semakin mengukuh antara kedua -dua negara.
"Sejajar dengan hubungan erat yang telah berakar umbi antara rakyat kita, kita mula mengukuhkan kerjasama dengan langkah-langkah padu, dan bagi kami, Malaysia adalah salah satu negara terulung di rantau ini dengan penduduknya hampir 35 juta, ekonomi dinamik, dan sumber manusia yang berkelayakan, " kata beliau semasa menyampaikan syarahan umum di sini.
Terdahulu, Erdogan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) hari ini, sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada diplomasi global dan rundingan antarabangsa.
Presiden Turkiye itu tiba di Malaysia hari ini sempena lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketibaan beliau yang diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine, disambut oleh Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Mengulas mengenai kerjasama yang terjalin antara Turkiye dan Malaysia, Erdogan berkata industri penerbangan Turkiye menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada lebih daripada 100 jurutera muda Malaysia manakala pembinaan kumpulan kedua kapal misi pesisir oleh Turkiye sedang berjalan lancar..
"Kita mempunyai kerjasama penting dalam pembinaan pesawat tanpa pemandu Anka-s (UAV)," katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial