Oleh Noor Bakhtiar Ahmad & Nabilah Saleh
PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan sekali lagi menggesa kepada orde dunia yang lebih adil dan inklusif, sambil mengkritik sistem global sedia ada yang menurutnya lebih menguntungkan segelintir kuasa besar tetapi mengetepikan golongan yang tertindas.
Ketika menyampaikan syarahan umum sempena lawatan beliau ke Malaysia, Erdogan berkata dunia kini berdepan "badai sempurna" akibat perpecahan politik, sosial dan ekonomi yang semakin ketara, ditambah dengan peningkatan dasar perlindungan serta tindakan unilateral kuasa besar.
"Pengasas sistem global hari ini adalah pihak yang menang dalam Perang Dunia Kedua. Negara-negara ini jugalah yang menetapkan peraturan dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan antarabangsa, ekonomi, kewangan dan perdagangan," katanya.
Erdogan tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan rasmi dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan ketidakseimbangan kekayaan dan kuasa global telah menyebabkan sebahagian besar penduduk dunia hidup dalam kemiskinan.
"Jika 55 peratus populasi dunia hanya memperoleh 1.3 peratus daripada pendapatan global, bukankah itu petanda bahawa sistem hari ini bermasalah?" katanya mempersoalkan keadilan dalam orde dunia sekarang.
Erdogan turut menzahirkan kebimbangannya terhadap pengabaian dunia Islam, yang menurutnya masih tidak diwakili dengan sewajarnya dalam institusi antarabangsa.
"Struktur yang mengecualikan satu perempat daripada populasi dunia tidak boleh diharapkan untuk menjamin keselamatan dan mengekalkan kestabilan serta keamanan global," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengulangi seruannya untuk reformasi segera, termasuk dengan menegaskan kembali slogan terkenalnya, "Dunia lebih besar daripada lima," merujuk kepada lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia.
"Sistem yang direka 80 tahun lepas dalam keadaan luar biasa tidak lagi sesuai dengan landskap dunia hari ini.
Kami secara terbuka menolak ketidakadilan dalam sistem ini, di mana yang berkuasa sentiasa dianggap benar, sedangkan yang benar bukanlah yang berkuasa," katanya.
Menurut Erdogan, perubahan global yang bermakna bukan sekadar mengecam ketidakadilan tetapi memerlukan tindakan aktif untuk memperbetulkannya.
"Bagi mencapai perubahan sebenar, kita bukan sahaja perlu membantah ketidakadilan yang menimpa kita, tetapi juga berani membuka hati terhadap penderitaan orang lain," katanya.
Dalam ucapannya, Erdogan turut memberi tumpuan kepada krisis di Gaza mengutuk tindakan ketenteraan Israel dan mendakwa Barat gagal membela rakyat Palestin.
"Di Gaza, di mana perkataan 'maruah' tersemat dalam jiwa setiap individu, daripada kanak-kanak hingga orang tua, daripada lelaki hingga wanita, mereka tidak menyerah, tidak tunduk kepada penindas dan tidak meninggalkan tanah air mereka," katanya.
Beliau berkata Turkiye telah menyalurkan lebih 100,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta memutuskan hubungan dagangan dengan Israel sebagai bantahan terhadap serangan tentera rejim itu.
"Kami telah menjalankan diplomasi intensif sejak hari pertama pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Kami mengutuk kekejaman ini dan menjadi suara lantang Palestin di semua platform, termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Namun, beliau kesal kerana Majlis Keselamatan PBB gagal bertindak, membiarkan serangan Israel berterusan tanpa sekatan.
"Dunia Barat, khususnya, telah gagal dalam ujian ini sepanjang 471 hari ini," katanya, sambil merujuk kepada jumlah korban rakyat Palestin yang kini mencecah 61,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Erdogan turut menegaskan bahawa Israel mesti dipertanggungjawabkan atas kemusnahan besar di Gaza.
"Kerajaan Israel dan Netanyahu bertanggungjawab ke atas bil yang besar ini. Israel mesti membayarnya sendiri," katanya, sambil menyatakan anggaran kos pembinaan semula Gaza mencecah US$100 bilion.
Selepas menyebabkan kemusnahan, penderitaan dan kekejaman sebesar ini, Israel tidak boleh dibiarkan terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku," katanya.
Beliau membandingkan usaha pemulihan pantas Turkiye selepas gempa bumi 7 Februari 2023 yang mengorbankan lebih 53,000 nyawa dan memusnahkan 311,000 bangunan, yang mana negara itu berjaya membina semula 201,000 kediaman dalam tempoh kurang dua tahun.
“Kami alihkan runtuhan, mulakan pembinaan dan menyerahkan 201,000 rumah setakat ini, kurang daripada dua tahun selepas gempa bumi . Kami boleh mencapai kejayaan pembinaan yang sama di Gaza,” katanya.
Erdogan mengakhiri ucapannya dengan menegaskan komitmen Turkiye untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
"Saya percaya semua ini adalah kewajipan persaudaraan dan hutang nurani kita kepada rakyat Palestin yang tertindas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial