KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Anwar berkata persetujuan itu disampaikan Syed Mokhtar ketika beliau menghubungi tokoh berkenaan hari ini, susulan pengumuman harga lantai belian padi yang diselaraskan kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada BERNAS (Padi Beras Nasional Berhad) yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. Sebelum ini BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.
“Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada sesi penerangan menteri mengenai situasi semasa industri padi dan beras negara di Dewan Rakyat hari ini berkata harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik, berkuat kuasa 16 Feb ini.
Mohamad memaklumkan harga beras putih tempatan dikekalkan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Perdana Menteri berkata pengumuman itu adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah.
“Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200. Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial